Sunday 14 August 2011

Sarawak Tuan Rumah Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah antara yang menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri yang julung kali diadakan di Sarawak.
Diadakan di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri lama, majlis penuh bersejarah itu adalah bertujuan mengenang jasa-jasa perajurit dan wira negara.

Sambutan itu dimulakan dengan Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja yang memiliki kekuatan seramai 103 anggota pelbagai pangkat.

Antara aktiviti menarik yang diadakan dalam majlis itu adalah deklamasi sajak Pahlawan, persembahan pantomin bertajuk ‘Kenangan Seorang Pahlawan’ dan pameran anjuran Jabatan Muzium Sarawak.

Hadir sama, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Tan Sri William Mawan, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip serta veteran-veteran perang seperti Pegawai Waran I (B) Temenggung Kanang Langkau.

Turut mengambil bahagian dalam majlis penuh bersejarah itu, pasukan badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan lain-lain.

Majlis yang bertemakan ‘Negaraku Gemilang Pahlawan Dikenang’ itu turut diadakan serentak dengan peringkat persekutuan yang diadakan di Kuala Lumpur.
PAHLAWAN NEGARA: Tun Abang Muhammad Salahuddin (kiri) bersalaman dengan PW 1 (B) Temenggong Kanang Langkau sebagai penghargaannya kepada barisan veteran tentera Sarawak yang telah menerima Panglima Gagah Berani sempena istiadat sambutan Hari Pahlawan di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching. Turut sama Mejar (B) Michael Riman Bugat (dua, kanan) dan PW II (B) Indang Ingkas.
                                            Petikan dari PBTM (http://www.pbtm.org.my/index.php)

No comments:

Post a Comment